22 April 2015

Montaj Majlis persaraan Pn. Geeta, GPK Kokurikulum SK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur

23 March 2015


Bertempat di Dewan Seri Cemerlang, telah diadakan program perjumpaan ibubapa dan guru tahun 6. program ini telah dilaksankan bagi mendapatkan maklum balas serta perhatian mereka terhadap pembelajaran anak-anak di sekolah. Disamping dapat mengeratkan perhubungan guru dan ibubapa murid tahun 6.

Objektif Perjumpaan
1.     Menjalinkan kerjasama padu antara ibu bapa dan guru dalam usaha membantu meningkatkan prestasi murid.
2.    Membentangkan pelaksanaan program-program peningkatan UPSR 2015
3.    Memutuskan yuran program peningkatan  UPSR 2015
4.    Sasaran UPSR 2015

SasaranSemua ibu bapa/penjaga murid Tahun 6 sesi UPSR 2015



28 Februari 2015 telah berlangsungnya Kursus Pengenalan Pertolongan Cemas yang bertempat di Dewan Seri Cemerlang.  Guru-guru di SKDTHO telah diberi pendedahan yang meluas tentang pertolongan cemas. Kursus ini dikendalikan oleh Emergency and Trauma Department, Hospital Kuala Lumpur.

Objektif utama kursus ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan terhadap teknik pertolongan cemas. selain itu menambah kemahiran peserta dalam menangani kecederaan serta mengendalikan mangsa semasa kecemasan. kursus ini juga bertujuan memberi pendedahan terhadap aspek keselamatan di tempat kerja/ lapangan dan teknik rawatan sementara.



29 December 2014

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika ini, demikian umum Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad).
Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

"Seperti semua pihak maklum banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.
"Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

"Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu," katanya dalam satu kenyataan.

Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambil kira;
a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

Muhyiddin berkata, sekiranya keadaan banjir pulih, pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh berkenaan untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing.

Ini katanya, bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.


Sumber : BH Online 

18 November 2014

Menutup tirai tahun 2014, Badan Kebajikan Guru dan Staff (BAKES) SK Desa Tun Hussein Onn telah mengadakan Majlis Makan Malam bertempat di Hotel Grand Season Kuala Lumpur. Majlis makan malam yang bertemakan Elegant Night ini diadakan bagi meraikan guru-guru dan kakitangan SKDTHO. Selain itu majlis perpisahan turut diadakan bagi meraikan guru-guru yang telah berpindah dan yang akan berpindah. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada AJK BAKES 2014 yang berusaha untuk menjayakan majlis makan malam ini. Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi silatulrahim antara guru-guru dan kakitangan SKDTHO.





Majlis Anugerah Cemerlang 2014 telah diadakan pada  14 November 2014. Majlis ini dianjurkan untuk memberi penghargaan dan anugerah kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YDP Pibg Sk Desa Tun Hussein Onn. YBHG Mejar Zainuddin bin Che Am



14 November 2014

Pada 1 November 2014. Telah berlangsung Festival Kawad Kaki Unit Beruniform peringkat sekolah.


12 November 2014

Pada 8 November 2014. Telah berlangsung Kejohanan Balapan dan Padang kali ke 19. Dalam kejohanan ini pelbagai acara telah dipertandingkan dan telah melibatkan semua murid-murid SKDTHO


29 September 2014

Video khas sempena Majlis Persaaraan beliau pada 29.9.2014. Beliau telah menjadi GPK Petang SKDTHO sejak tahun 2007. Selamat Bersara Pn. Bada. Jasamu Tetap Kami Kenang

03 September 2014

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a) Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b) Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c) Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Begitulah 7 Tips Untuk Cemerlang dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti