13 May 2014

Unit bimbingan dan kaunseling telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Istana Negara, Taman Botani dan Putrajaya. Program yang di adakan pada 10 mei 2014 telah disertai oleh 86 orang pelajar dan 8 orang guru pengiring. Banyak pengalaman dan pengetahuan dapat dikutip dari program yang sebegini. Diharapkan pada masa yang akan datang lebih banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi.

MUZIUM DI RAJA


Muzium Diraja yang bertempat di Istana Negara Lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sejak tahun 1957 hingga tahun 2011. Setelah itu, bangunan Istana Negara Lama ini dijadikan Muzium Diraja dan mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Februari 2013 sehingga kini. Pembukaan Muzium Diraja ini bertujuan untuk mengangkat institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia dan mendedahkan kepada masyarakat tentang peranan institusi beraja dan fungsi bangunan Istana Negara Lama itu sendiri.

Tentang Bangunan

Muzium Diraja merupakan bangunan Istana Negara Lama yang telah dibina sejak tahun 1928. Pada asalnya bangunan ini adalah rumah agam kediaman jutawan Cina yang dikenali sebagai Chan Wing. Rekaan bangunan dua tingkat ini adalah hasil kreativiti daripada sebuah fi rma seni bina yang terkenal di Singapura iaitu Swan & MacLaren. Keluasan kediaman seluas 11.34 hektar menerapkan seni bina gaya Palladian bagi menunjukkan kemewahan dan kehebatan kediaman tersebut sebagai rumah agam yang terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan mes pegawai tentera Jepun, dan kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957. Bangunan ini akhirnya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong. Sebagai Istana Negara, bangunan ini telah diubahsuai beberapa kali dan mengalami penambahan secara besar-besaran sekitar tahun 1980-an dengan penambahan Balairung Seri Utama untuk upacara rasmi. Bangunan ini menjadi kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehingga tahun 2011 semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XIII.

Tentang Galeri

Kompleks Istana Negara Lama ini terdiri daripada dua blok bangunan iaitu;
Galeri Balairung Seri - Dibina pada tahun 1980-an dan digunakan untuk upacara dan adat istiadat rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Antaranya seperti Upacara Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, upacara mengangkat sumpah, upacara pelantikan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang baharu, upacara pengurniaan pingat dan anugerah kebesaran Persekutuan, upacara mempersembahkan dan menerima perlantikan diplomat asing dan Majlis Makan Malam Diraja.
Galeri Istana - Merupakan kediaman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I sehingga XIII. Bangunan galeri istana dibina pada tahun 1928 yang memperlihatkan ruangan rasmi dan ruangan peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap ruangan mempunyai nama khas, fungsi, rekaan dan protokol yang tersendiri.

Tentang Koleksi

Singgahsana Diraja - Mempunyai keluasan 16 kaki tinggi dan 36 kaki lebar yang diperbuat daripada kayu cengal tanpa menggunakan sebarang paku. Motif ukiran pada Singgahsana lahir dari pemikiran Allahyarham Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie yang menggabungkan motif ukiran dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah agar dapat melambangkan identiti kebangsaan. Tiang-tiang yang terdapat di Singgahsana berdasarkan ukiran padi, siku keluang dan ukir lorek dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk melambangkan inspirasi dan cita-cita rakyat yang berbilang kaum dan menggambarkan perpaduan negara. Anak-anak tangga yang digabungkan menunjukkan takhta negara adalah tinggi kedudukannya. Tujuh anak tangga dan tujuh batang tiang melambangkan keseluruhan alam yang bermaksud tujuh petala Singgahsana Diraja merupakan lambang ketinggian dan kemegahan institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia langit tujuh petala bumi. Lima tiang sebaris disusun di atas Singgahsana melambangkan lima prinsip Rukun Negara. Dua tingkat perangsang dipasangkan menunjukkan nama-nama Allah dan sepotong ayat Al-Quran. Mahkota di atas Singgahsana berstruktur bulat sebagai lambang rakyat berbilang kaum. Bulan dan bintang di puncak Singgahsana melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Set Meja Santapan - Set meja santapan diraja mempunyai koleksi peralatan santapan bermonogram yang tersendiri dan ditempah khas kerana mempunyai cap Jata Diraja di setiap alatan set tersebut. Set santapan diraja bagi setiap individu mempunyai 12 unit alatan.
Jata Diraja - Jata Diraja adalah lambang raja berperlembagaan di Malaysia. Jata Diraja mempunyai jata Malaysia di tengah-tengah dan dikelilingi oleh dua perkarangan padi yang melambangkan kemewahan dan kemakmuran. Jata Diraja dijadikan aksesori dalam kawasan istana yang dapat dilihat pada pagar di sekeliling istana, di atas setiap pintu ruangan rasmi bilik istana dan di atas kepala kerusi.


TAMAN BOTANI
Taman Botani Putrajaya adalah taman terbesar seumpamanya di negara ini meliputi kawasan seluas 92 hektar.
Taman itu terbahagi kepada tiga bahagian, bunga-bungaan, taman hiasan dan penyelidikan. 
Taman itu mempunyai lebih 700 spesies bunga dan tanaman termasuk dari Malaysia, Asia Pasifik dan Afrika. 

Kawasan itu juga menyediakan tempat untuk pusat penyelidikan untuk memberi peluang masyarakat melihat pelbagai jenis tumbuhan-tumbuhan.

Jika datang ke taman itu, jangan lupa membawa anak-anak kerana mereka pasti teruja melihat koleksi pelbagai jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Ibu bapa juga boleh menggunakan tempat ini sebagai pusat rujukan dan pembelajaran kepada anak-anak mengenai tumbuh-tumbuhan. 

Taman Botani Putrajaya turut menyediakan pusat kepada pelawat selain pengunjung berpeluang meneroka pelbagai khazanah menarik di taman itu. 

Anda juga boleh membawa pulang koleksi untuk teman dan saudara mara di kedai cenderahati. 


INFO: 

Tempat-tempat menarik sekitar Taman Botani Putrajaya: 

1. Jambatan Putra 

Salah satu jambatan utama di Putrajaya dengan panjang 435 meter, ia menghubungkan pusat pentadbiran kerajaan dan kawasan komersial serta perumahan di Putrajaya. 

Jambatan itu turut mengambil idea daripada seni bina Islam iaitu Jambatan Khaju di Isfahan, Iran. 

Paling menarik di jambatan itu ialah menaranya yang lengkap dengan tempat untuk pelancong melihat kawasan sekitar Putrajaya. 

Jambatan itu turut menyediakan tempat untuk pejalan kaki, kenderaan dan monorel selain tempat untuk pendaratan bot. 


2. Masjid Putra 

Antara masjid tercantik di negara ini, pembinaannya yang menggunakan batu granit boleh memuatkan kira-kira 15,000 jemaah pada satu-satu masa. 

Ia turut mengambil idea daripada beberapa masjid terkenal di dunia antaranya Masjid Raja Hassan di Casablanca, Maghribi. 

Masjid itu terbahagi kepada tiga fungsi iaitu dewan solat, dewan utama dan kemudahan pembelajaran. 

Bilik solatnya ringkas, tetapi menggambarkan seni bina Islam yang menarik dan tempat paling tinggi ialah kubah iaitu 60 meter daripada lantai. 

Menaranya turut dipengaruhi reka bentuk Masjid Sheikh Omar di Baghdad. 

Dengan ketinggian 116 meter, ia antara menara masjid paling tinggi di negara ini.

CRUISE TASIK PUTRAJAYA
Tasik Putrajaya merupakan tarikan utama kepada bandar pentadbiran ini, dan pelawat boleh menaiki kapal persiaran di atas tasik ini. 

Pelawat boleh melihat pemandangan sekitar tasik yang menakjubkan di atas kapal persiaran, termasuk Masjid Putrajaya, Jambatan Putrajaya serta bangunan pentadbiran kerajaan.

Pelawat boleh memilih untuk belayar dengan bot persiaran penumpang, yang merupakan pilihan hebat di siang hari atau lebih menakjubkan di waktu malam!

Bot persiaran berhawa dingin juga memuatkan 76 penumpang dengan selesa, dan pelawat boleh melihat mercu tanda Putrajaya melalui tingkap kaca bot tersebut.



1 comment: