29 May 2014

Cuti sekolah tiba lagi. Masa cuti yang panjang seeloknya dimanfaatkan dengan berkesan oleh adik-adik di rumah. Di sini saya nak cadangkan 20 Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat untuk adik-adik lakukan sepanjang cuti sekolah ini. Buat ibu bapa pula, laburkanlah sedikit wang anda bagi pengisian yang bermakna buat anak-anak. Semoga cuti sekolah ini dapat terisi dengan sebaiknya!
20 Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat
 

01. Kem Motivasi
Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.


02. Kem Ibadah
Ini juga merupakan kem yang baik untuk adik-adik. Kem Ibadah selalunya akan dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan Al-Quraan dan aktiviti pemantapan iman. Malahan kini juga ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih adik-adik untuk mempelajari teknik menghafal Al-Quraan. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing adik-adik melayari kehidupan ini ke jalan yang benar.

Kem Ibadah

03. Klinik Sukan
Bagi adik-adik yang meminati sukan pula serta berhajat untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, saya cadangkan adik-adik mengikuti Klinik Sukan. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, terutamanya bagi sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal, tenis, badminton, renang dan golf. Bagi yang berkemampuan, bolehlah melantik jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.


04. Belajar ICT
Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan adik-adik mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps


05. Kursus Pendek Bahasa
Ini juga merupakan kursus yang bagus untuk adik-adik. Mempelajari bahasa tambahan dapat memberi kelebihan buat adik-adik. Bagi yang lemah menggunakan Bahasa Inggeris, boleh ambil kursus Bahasa Inggeris yang banyak diadakan. Antara bahasa asing lain yang dicadangkan adalah Bahasa Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan lain-lain bahasa utama dunia.


06. Kemahiran Bertukang
Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung. 


07. Kraf dan Anyaman
Bagi adik-adik yang suka dengan kerja tangan, adik-adik bolehlah mencuba menghasilkan kraf atau pun menganyam. Kraf yang dihasilkan boleh terdiri daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan cantik.


08. Belajar Alat Muzik
Mempelajari penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tambahan pula jika adik-adik merupakan penggemar muzik. Mula lah belajar dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, adik-adik boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.

Mempelajari penggunaan alat muzik
 

09. Belajar Berenang
Bagi adik-adik yang masih belum boleh berenang, aktiviti ini adalah amat digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk menjadikan adik-adik seorang perenang yang baik. Tak rugi jika sekiranya adik mempelajari kemahiran berenang. Malah jika berminat selepas ini, adik-adik boleh menjadikannya aktiviti riadah yang rutin.


10. Belajar Memasak
Bagi adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?


11. Belajar Menari
Ini juga adalah satu aktiviti yang menarik. Adik-adik boleh peruntukkan masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang kepada adik-adik untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. Sekurang-kurangnya, adik-adik telah menambah satu lagi kelebihan kepada diri adik-adik. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin adik-adik juga boleh cuba Zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.

mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional
 

12. Berkebun
Berkebun memang menyeronokkan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.


13. Melancong
Bagi adik-adik dari keluarga yang berkemampuan, keluarlah pergi bercuti dengan keluarga. Aktiviti ini memang sangat menyeronokkan dan juga dapat membuka minda adik-adik. Selain daripada mengeratkan hubungan kekeluargaan, aktiviti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman adik. Antara pilihan yang baik untuk melancong adalah tempat-tempat bersejarah, tempat menarik, taman tema, pusat pelancongan dan tempat yang belum dilawati.

bercuti dengan keluarga
 

14. Sukan Ekstrem
Ada juga dalam kalangan adik-adik yang meminati sukan ekstrem. Jadi apakata gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat adik-adik dalam sukan ini. Adik-adik boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tapi ingat! Utamakan keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai peralatan dan pakaian yang sesuai.


15. Bekerja Sambilan
Ini juga merupakan aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. Bagi adik-adik yang berminat mencari duit poket, ini lah masa yang paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibubapa terlebih dahulu. Jika niat dan tujuan adik-adik betul, inshaAllah ibubapa tak akan keberatan untuk membenarkan adik-adik bekerja sambilan semasa cuti sekolah ini.


16. Membantu Datuk dan Nenek di Kampung
Aktiviti menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan adik-adik mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibubapa di bandar. Banyak yang akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.

Membantu Datuk dan Nenek di Kampung

 
17. Menolong Ibu Bapa di Rumah
Adik-adik yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibubapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibubapa. Masa untuk berbakti.


18. Melakukan Kerja Amal
Selain daripada membantu ibu bapa, adik-adik juga boleh melakukan kerja amal. Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang adik tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.


19. Baca Novel / Buku Ilmiah
Bagi adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilih lah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna.

membaca novel atau pun buku ilmiah


20. Ulangkaji dan Persediaan Tahun Depan
Mungkin ini adalah aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun depan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun depan, adik-adik bakal berhadapan dengan PBSMR atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.


Ini lah serba sedikit 20 cadangan aktiviti cuti sekolah yang berguna dan bermanfaat kepada adik-adik dan juga ibu bapa. Manfaatkan cuti sekolah adik-adik dengan sebaiknya dengan sasaran mempunyai sekurang-kurangnya satu nilai tambah baru kepada adik-adik tahun depan. Kepada ibu bapa juga, tak perlu manjakan anak pada musim cuti sekolah dengan hanya membiarkan mereka menonton tv, bermain games dan melayari Internet sepanjang masa. Cubalah salah satu daripada aktiviti di atas, inshaAllah anda dan anak akan perolehi sesuatu yang bermakna cuti sekolah ini!


Sumber : Cikgu Hailmi

15 May 2014


GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


14 May 2014

En. Rooslan b. Ahmad telah menyempurnakan Majlis Pelantikan Pengawas yang telah diadakan pada 14 April 2014, bertempat di Anjung Ilmu. Majlis Pengawas telah melibatkan pengawas-pengawas di sesi pagi dan petang.Dengan adanya majlis seperti ini,diharap pengawas ini dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi.

VISI PENGAWAS
kearah melahirkan pemimpin cemerlang di masa hadapan.


MISI PENGAWAS
Melahirkan pemimpin sekolah yang berdisiplin, berkebolehan, berakhlak dan berketerampilan dari segala aspek.

MOTTO PENGAWAS
" Berkhidmat, Berdisiplin dan Berjaya".

Apakah peranan pengawas ?

Pegawas adalah pemimpin kecil yang dipilih untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab membantu guru dan pentadbir sekolah agar dapat mewujudkan satu persekitaran sekolah yang kemas dan teratur. Persekitaran yang dimaksudkan adalah menentukan suasana yang damai, situasi yang terkawal dan menumpukan kepada fungsi utama sebuah sekolah melahirkan murid-murid yang berpotensi menjadi pemimpin negara masa hadapan dan tunggak pembangunan negara dalam apa jua bidang yang mereka minati. Saya berharap pengawas-pengawas yang dilantik pada hari ini dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.





Bertempat di SK Wangsa Melawati telah berlangsungnya Pesta Pantun Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2014. SKDTHO telah menjadi johan pertandingan pantun peringkat negeri. Syabas dan tahniah kepada Puan Norliyana Mat Saad dan En. Khairul bin Sharin diatas pengorbanan masa dan tenaga dalam melatih peserta pantun.Tahniah buat semua peserta yang telah mengharumkan nama sekolah.SKDTHO akan mewakili Kuala Lumpur ke peringkat Kebangsaan. Syabas dan tahniah diatas kejayaan kali ini.






13 May 2014

Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam.
Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand.
Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pegajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu.Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran ‘maha’ hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri.
Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelar pendekar.
Silat tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak abad ke-7 M, tetapi asal-usulnya masih lagi tidak pasti. Meskipun, silat telah diakui sebagai seni Melayu asli.
Orang Melayu yang telah menetap di bandar-bandar pantai pulau Sumatera dan Semenanjung Melayu, dari Aceh di utara ke Kelantan, Kedah dan Kepulauan Riau di selatan, adalah orang yang mengamalkan silat. Perhubungan dengan kumpulan suku kaum lain di bandar-bandar pantai telah juga mempengaruhi bentuk silat. Adanya bukti bahawa budaya China dan India telah mempengaruhi gaya-gaya seni mempertahankan diri itu.
Apabila Islam disebarkan sepanjang nusantara abad ke-14, ia diajar di samping dengan silat. Selain seni bertarung dan tarian budaya rakyat, silat kemudian menjadi suatu latihan rohaniah.
Silat telah diperhaluskan ke ciri keistimewaan Sultan, panglima dan pendekar sewaktu empayar Kesultanan Melaka, Majapahit dan Srivijaya. Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang Semenanjung Melayu, Jawa, Bali, Sulawesi dan Borneo.
Orang Melayu, terutamanya di Semenanjung Melayu, menganggap cerita legenda Hang Tuah pada abad keempat belas sebagai bapa silat. Silat berkongsi sejarah yang sama di Malaysia (termasuk Singapura ketika itu), Brunei dan Indonesia sewaktu era penjajahan sebagai suatu wadah untuk membebaskan diri daripada kekuasaan penjajah.
Sewaktu era pasca penjajahan, silat telah menikmati populariti dan nama yang tinggi oleh kerana jasa-jasa pendekar yang telah memimpin perjuangan dan mengorbankan nyawa untuk kemerdekaan. Di Malaysia, kerajaan Malaysia telah mengiktiraf bahawa silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan dibawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang dianjurkan pada 3hb hingga 4hb Disember 2006.
Pada 23hb hingga 24hb September, 1979, ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang adalah secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara.
Pelajar SKDTHO yang berminat untuk menyertai silat, sila berhubung dengan Ustaz Idham.






Kursus Kepimpinan Pengawas SK Desa Tun Hussein Onn yang telah diadakan pada 11 dan 12 April 2014 yang lalu.Program yang dilaksanakan bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling diadakan selama dua hari untuk mendedahkan dan memberi sebanyak mana maklumat mengenai tugasan pengawas khususnya. Tujuan kursus ini adalah untuk :

1. memperkembangkan potensi pengawas dalam diri pemimpin pelajar.
2. meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek kepimpinan.
3. meningkatkan tahap kesedaran dan tanggungjawab pemimpin murid dalam memberi khidmat sosial kepada
    komuniti meningkatkan kenyakinan dan harga diri pemimpin.
Tema program kepimpinan pengawas kali ini ialah PEMIMPIN MURID PEWARIS NEGARA. Peserta program kepimpinan ini terdiri daripada pengawas tahun 4,5 dan 6. Program dirasmikan oleh Encik Rooslan bin Ahmad,Guru Besar SKDTHO.

Tentatif Aktiviti

11 APRIL 2014

2.00 - 2.30 - Pendaftaran dan Penyerahan Fail Peserta

2.30 - 4.30 - MOTIVASI " KEPIMPINAN CEMERLANG"

4.30 - 5.00 - Teori dan Amalan Pengendalian Perhimpunan Sekolah


12 APRIL 2014

8.00 - 10.00 - Peningkatan Disiplin dan Budaya Kerja Pengawas

10.00 - 12.30 - Pembinaan Pasukan " Teamwork"

12-30 - 1-00 - Penutup

Sepanjang program berlangsung. Pengawas dapat menjalankan segala aktiviti yang dirancang. Ucapan terima kasih buat penceramah-penceramah yang dijemput khasnya yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang dunia pengawas. Syabas buat unit disiplin dan pengawas dapat menjalankan program yang bermanfaat seperti ini. Tahniah buat Pn Kalsom bt Jab dan Cik Ezian yang telah bekerjasama dalam menjayakan program yang baik seperti ini. Diharapkan program ini akan dijalankan lagi pada tahun hadapan.


ntan f
Unit bimbingan dan kaunseling telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Istana Negara, Taman Botani dan Putrajaya. Program yang di adakan pada 10 mei 2014 telah disertai oleh 86 orang pelajar dan 8 orang guru pengiring. Banyak pengalaman dan pengetahuan dapat dikutip dari program yang sebegini. Diharapkan pada masa yang akan datang lebih banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi.

MUZIUM DI RAJA


Muzium Diraja yang bertempat di Istana Negara Lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sejak tahun 1957 hingga tahun 2011. Setelah itu, bangunan Istana Negara Lama ini dijadikan Muzium Diraja dan mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Februari 2013 sehingga kini. Pembukaan Muzium Diraja ini bertujuan untuk mengangkat institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia dan mendedahkan kepada masyarakat tentang peranan institusi beraja dan fungsi bangunan Istana Negara Lama itu sendiri.

Tentang Bangunan

Muzium Diraja merupakan bangunan Istana Negara Lama yang telah dibina sejak tahun 1928. Pada asalnya bangunan ini adalah rumah agam kediaman jutawan Cina yang dikenali sebagai Chan Wing. Rekaan bangunan dua tingkat ini adalah hasil kreativiti daripada sebuah fi rma seni bina yang terkenal di Singapura iaitu Swan & MacLaren. Keluasan kediaman seluas 11.34 hektar menerapkan seni bina gaya Palladian bagi menunjukkan kemewahan dan kehebatan kediaman tersebut sebagai rumah agam yang terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan mes pegawai tentera Jepun, dan kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957. Bangunan ini akhirnya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong. Sebagai Istana Negara, bangunan ini telah diubahsuai beberapa kali dan mengalami penambahan secara besar-besaran sekitar tahun 1980-an dengan penambahan Balairung Seri Utama untuk upacara rasmi. Bangunan ini menjadi kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehingga tahun 2011 semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XIII.

Tentang Galeri

Kompleks Istana Negara Lama ini terdiri daripada dua blok bangunan iaitu;
Galeri Balairung Seri - Dibina pada tahun 1980-an dan digunakan untuk upacara dan adat istiadat rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Antaranya seperti Upacara Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, upacara mengangkat sumpah, upacara pelantikan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang baharu, upacara pengurniaan pingat dan anugerah kebesaran Persekutuan, upacara mempersembahkan dan menerima perlantikan diplomat asing dan Majlis Makan Malam Diraja.
Galeri Istana - Merupakan kediaman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I sehingga XIII. Bangunan galeri istana dibina pada tahun 1928 yang memperlihatkan ruangan rasmi dan ruangan peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap ruangan mempunyai nama khas, fungsi, rekaan dan protokol yang tersendiri.

Tentang Koleksi

Singgahsana Diraja - Mempunyai keluasan 16 kaki tinggi dan 36 kaki lebar yang diperbuat daripada kayu cengal tanpa menggunakan sebarang paku. Motif ukiran pada Singgahsana lahir dari pemikiran Allahyarham Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie yang menggabungkan motif ukiran dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah agar dapat melambangkan identiti kebangsaan. Tiang-tiang yang terdapat di Singgahsana berdasarkan ukiran padi, siku keluang dan ukir lorek dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk melambangkan inspirasi dan cita-cita rakyat yang berbilang kaum dan menggambarkan perpaduan negara. Anak-anak tangga yang digabungkan menunjukkan takhta negara adalah tinggi kedudukannya. Tujuh anak tangga dan tujuh batang tiang melambangkan keseluruhan alam yang bermaksud tujuh petala Singgahsana Diraja merupakan lambang ketinggian dan kemegahan institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia langit tujuh petala bumi. Lima tiang sebaris disusun di atas Singgahsana melambangkan lima prinsip Rukun Negara. Dua tingkat perangsang dipasangkan menunjukkan nama-nama Allah dan sepotong ayat Al-Quran. Mahkota di atas Singgahsana berstruktur bulat sebagai lambang rakyat berbilang kaum. Bulan dan bintang di puncak Singgahsana melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Set Meja Santapan - Set meja santapan diraja mempunyai koleksi peralatan santapan bermonogram yang tersendiri dan ditempah khas kerana mempunyai cap Jata Diraja di setiap alatan set tersebut. Set santapan diraja bagi setiap individu mempunyai 12 unit alatan.
Jata Diraja - Jata Diraja adalah lambang raja berperlembagaan di Malaysia. Jata Diraja mempunyai jata Malaysia di tengah-tengah dan dikelilingi oleh dua perkarangan padi yang melambangkan kemewahan dan kemakmuran. Jata Diraja dijadikan aksesori dalam kawasan istana yang dapat dilihat pada pagar di sekeliling istana, di atas setiap pintu ruangan rasmi bilik istana dan di atas kepala kerusi.


TAMAN BOTANI
Taman Botani Putrajaya adalah taman terbesar seumpamanya di negara ini meliputi kawasan seluas 92 hektar.
Taman itu terbahagi kepada tiga bahagian, bunga-bungaan, taman hiasan dan penyelidikan. 
Taman itu mempunyai lebih 700 spesies bunga dan tanaman termasuk dari Malaysia, Asia Pasifik dan Afrika. 

Kawasan itu juga menyediakan tempat untuk pusat penyelidikan untuk memberi peluang masyarakat melihat pelbagai jenis tumbuhan-tumbuhan.

Jika datang ke taman itu, jangan lupa membawa anak-anak kerana mereka pasti teruja melihat koleksi pelbagai jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Ibu bapa juga boleh menggunakan tempat ini sebagai pusat rujukan dan pembelajaran kepada anak-anak mengenai tumbuh-tumbuhan. 

Taman Botani Putrajaya turut menyediakan pusat kepada pelawat selain pengunjung berpeluang meneroka pelbagai khazanah menarik di taman itu. 

Anda juga boleh membawa pulang koleksi untuk teman dan saudara mara di kedai cenderahati. 


INFO: 

Tempat-tempat menarik sekitar Taman Botani Putrajaya: 

1. Jambatan Putra 

Salah satu jambatan utama di Putrajaya dengan panjang 435 meter, ia menghubungkan pusat pentadbiran kerajaan dan kawasan komersial serta perumahan di Putrajaya. 

Jambatan itu turut mengambil idea daripada seni bina Islam iaitu Jambatan Khaju di Isfahan, Iran. 

Paling menarik di jambatan itu ialah menaranya yang lengkap dengan tempat untuk pelancong melihat kawasan sekitar Putrajaya. 

Jambatan itu turut menyediakan tempat untuk pejalan kaki, kenderaan dan monorel selain tempat untuk pendaratan bot. 


2. Masjid Putra 

Antara masjid tercantik di negara ini, pembinaannya yang menggunakan batu granit boleh memuatkan kira-kira 15,000 jemaah pada satu-satu masa. 

Ia turut mengambil idea daripada beberapa masjid terkenal di dunia antaranya Masjid Raja Hassan di Casablanca, Maghribi. 

Masjid itu terbahagi kepada tiga fungsi iaitu dewan solat, dewan utama dan kemudahan pembelajaran. 

Bilik solatnya ringkas, tetapi menggambarkan seni bina Islam yang menarik dan tempat paling tinggi ialah kubah iaitu 60 meter daripada lantai. 

Menaranya turut dipengaruhi reka bentuk Masjid Sheikh Omar di Baghdad. 

Dengan ketinggian 116 meter, ia antara menara masjid paling tinggi di negara ini.

CRUISE TASIK PUTRAJAYA
Tasik Putrajaya merupakan tarikan utama kepada bandar pentadbiran ini, dan pelawat boleh menaiki kapal persiaran di atas tasik ini. 

Pelawat boleh melihat pemandangan sekitar tasik yang menakjubkan di atas kapal persiaran, termasuk Masjid Putrajaya, Jambatan Putrajaya serta bangunan pentadbiran kerajaan.

Pelawat boleh memilih untuk belayar dengan bot persiaran penumpang, yang merupakan pilihan hebat di siang hari atau lebih menakjubkan di waktu malam!

Bot persiaran berhawa dingin juga memuatkan 76 penumpang dengan selesa, dan pelawat boleh melihat mercu tanda Putrajaya melalui tingkap kaca bot tersebut.



Sabtu..3 Mei 2014..Panitia Matematk dan Sains juga mengambil langkah yang proaktif dalam menggunakan Vle Frog dalam Pembelajaran dan Pengajaran. Usaha ini diambil untuk memastikan guru-guru dapat membuat site yang boleh membantu mempermudahkan bagi murid memahami tajuk yang diajar oleh guru. Dengan era pembangunan IT diharap penggunaan VLE Frog ini digunakan dalam kelas bagi memperluaskan pengetahuan murid dalam bidang ini. Guru math dan sains juga dibimbing oleh En. Khairul Anwar b. Sharin, selaku penyelaras FROG SKDTHO dan juga JU Negeri bagi program ini. En. Khairul telah menerangkan secara  terperinci untuk memastikan pemahaman guru dalam program frog ini berhasil.